
MyREI Anjur Bengkel Terjemahan Kandungan Laman Web ke Bahasa Melayu
Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah mengadakan Bengkel Terjemahan Kandungan Laman Web MyREI sebagai langkah awal untuk menyediakan laman web institut dalam dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bengkel ini dikendalikan oleh En. Mohd Arshad Mohd Lokoman dari Unit Penjenamaan dan Pemasaran Digital, Pejabat Pemasaran Komunikasi Korporat (PPKK) UTHM. Peserta bengkel terdiri daripada pelajar-pelajar latihan industri di bawah seliaan MyREI yang terlibat dalam proses penterjemahan kandungan laman web. Dalam ucapan aluannya, Pengarah MyREI, Prof. Madya Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan, menjelaskan bahawa usaha ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan MyREI.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan tentang cara menyediakan sokongan dwibahasa pada laman web, menterjemah dan mengurus kandungan menggunakan platform Joomla, serta memastikan setiap halaman dipaparkan mengikut bahasa yang dipilih oleh pengguna. Melalui bengkel ini, pelajar latihan industri daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) serta Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) juga dapat memperoleh pengalaman praktikal dalam pengurusan kandungan laman web dan menggunakan kemahiran tersebut dalam tugasan sebenar.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian maklumat dan memudahkan masyarakat, pihak industri serta komuniti setempat mendapatkan maklumat mengenai program dan perkhidmatan MyREI. Usaha ini juga dapat memperluas penggunaan Bahasa Melayu dalam komunikasi rasmi institusi. Kerja-kerja penterjemahan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga semua kandungan laman web MyREI tersedia dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.















