
Seminar Pengurusan Strata : Memperkasa Tadbir Urus & Teknologi Lestari
Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI) bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah berjaya menganjurkan Seminar Pengurusan Strata: Memperkasa Tadbir Urus & Teknologi Lestari bertempat di Dewan Auditorium MBIP, Iskandar Puteri, Johor. Seminar ini merupakan satu inisiatif kolaborasi antara MyREI dan MBIP dalam memperkukuh tadbir urus serta menggalakkan penerapan teknologi dan amalan lestari dalam pengurusan strata. Seminar sehari penuh ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, YB Dato' Haji Hasrin Kamal bin Hashim. Dalam ucapan perasmian, beliau mengetengahkan cabaran semasa dalam pengurusan strata, khususnya berkaitan isu penyelenggaraan bagi pembangunan strata yang masih berada di bawah pengurusan pemaju sebelum penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 250 peserta serta penglibatan tujuh rakan strategik daripada industri pengurusan hartanah.
Pelbagai topik berkaitan pengurusan strata telah diketengahkan sepanjang seminar, merangkumi aspek perundangan dan penguatkuasaan, cabaran semasa dalam pengurusan strata, teknologi pintar dan pendigitalan, tadbir urus strata serta pengurusan bencana dan kelestarian. Perkongsian yang disampaikan turut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan dan strategi dalam memperkukuh pengurusan bangunan dan komuniti strata yang berkualiti, berdaya tahan dan lestari. Penganjuran seminar ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, profesional industri, akademik dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh ekosistem pengurusan strata. Kolaborasi julung kali antara MyREI dan MBIP ini diharapkan dapat membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif dan kerjasama strategik pada masa hadapan dalam memperkasakan tadbir urus, pendigitalan serta kelestarian pengurusan strata di Iskandar Puteri dan Malaysia.













